20 Nov 2011

Ruang Gelap


Dear my Lovepediary,

Aku terdengar orang bicara tentang lautan. Deruan ombak menerjah gegendang telinga aku. Pasir berdesir diselang kocakan air. Mereka bilang ombak kuat menghempas pantai. Lantas perlahan kembali ke lautan.

Aku terdengar orang bicara tentang angin. Mereka bilang damai dan menyamankan. Lantas aku dengar desiran angin. Bagai meniup lembut, melentokkan dedaunan pokok.

Aku terdengar orang bicara tentang siang. Sinar matahari memancar seluruh alam. Sedikit kehangatan menerpa wajah. Mereka bilang hari kian cerah. Terang benderang dengan hangat yang bertambah.

Aku terdengar orang bicara tentang terik matahari. Hangatnya mengucup setiap sudut susuk tubuh. Mereka bilang perit hingga mengalirkan keringat. Cahayanya menyilaukan, panasnya membahang.

Lantas, mereka bilang sayangnya panas tidak berpanjangan. Awan berarak mendung, langit mula gelap. Seketika kemudian awan mula menangis. Hujan mencurah-curah jatuh deras ke bumi. Sesekali diselang bunyi guruh. Bising, menenggelamkan semua suara laen.

Hujan. Ada debaran yang mengiringi hujan. Jantung berdegup agak laju. Jiwa bagai gemuruh seketika. Kemudian debaran hilang perlahan-lahan, mengekori keredaan hujan.

Seketika kemudian, aku terdengar orang bicara tentang pelangi. Ada tujuh warna kesemuanya. Cantek, indah, kagum mereka melihatnya. Seperti memberi suatu semangat baru. Hati yang suram bagai dipulihkan. Apabila memandang keindahan tujuh warna pelangi.

Aku terdengar orang bicara tentang langit. Mereka bilang hari sudah hampir senja. Langit yang cerah bertukar sedikit kelam. Katanya matahari sudah hampir terbenam. Jingga matahari bagai melambai untuk pulang.

Mereka bilang hari kian gelap. Gelap, dan semaken gelap. Aku sudah lihat gelap. Aku terdengar orang bicara tentang bulan. Objek bulat kekuning-kuningan di tengah-tengah gelap malam. Sinarnya memancar. Mencetuskan cahaya samar-samar.

Aku terdengar orang bicara tentang bintang. Jutaan bintang bertaburan di langit malam. Menghiasi langit menemani bulan. Dihitung satu-persatu hingga tiada pengakhiran. Kerlipannya bisa memujuk hati yang rawan. Bagai memberi ilham apabila direnung dalam.

Aku terdengar orang bicara tentang embun malam. Dinginnya sesekali terasa mencucuk hingga ke tulang. Mereka bilang ia jatuh bertaburan ke lantai bumi. Suci, putih dan bersih.

Malam terasa panjang. Gelap. Sunyi. Sepi. Diam.

Aku terdengar bunyi kokokan ayam. Mendayu-dayu mengejut mereka yang lena panjang. Aku lihat sekelilingku maseh gelap. Subuh, dingin. Bagai ada satu perasaan indah yang singgah. Hati terusik mendamba ketenangan hakiki.

Mereka bilang malam akan bertukar siang kembali. Aku lihat sekeliling. Maseh gelap.

Pancaran matahari oren kemerahan. Pelangi tujuh warna muncul selepas hujan. Bintang dan bulan berkerlipan riang tatkala malam. Langit seringkali bertukar warna. Apabila cerah, mendung, mahupun senja menjelang. Apabila malam bertukar siang. Apabila siang bertukar malam.

Aku lihat sekeliling. Maseh gelap.

Aku. Aku tidak lihat itu semua. Aku tidak rasa itu semua. Apabila aku lihat sekeliling. Gelap, semuanya gelap.

Di saat orang lihat langit yg cerah, aku cuma lihat gelap. Di saat orang lihat cahaya bulan, juga kerlipan bintang, aku cuma lihat gelap. Di saat orang lihat cahaya matahari yang memancar, aku cuma lihat gelap. Dan di saat orang menghayati keindahan pelangi, aku maseh lihat gelap.

Aku tidak melihatnya. Aku tidak merasainya. Hanya yang ada, gelap. Gelap. Sunyi. Sepi. Diam.

Aku tidak bersama mereka. Aku tidak di mana-mana. Aku cuma berada di sebuah Ruang Gelap.


Love & Sincere,

5 comments:

  1. Setakat ni, aku rasa ini ialah terbitan paling sedap yang aku baca daripada blog kau..

    Aku suka pada semua benda yang kau ceritakan. Tentang hujan, tentang lautan, tentang bintang, tentang pelangi, angin, kokokan ayam, semua la..

    Paling aku suka bila semua benda tu didefinisikan sebagai gelap. Lantas aku rasa macam aku sesat dalam lubang hitam kat angkasa..

    ReplyDelete
  2. Aku suka menulis macam ni sebenarnya. Tapi aku tak hebat macam kau. Takleh nak lawan kau H! Aku baca balek hasil tulisan aku, err byk cacat celanya! Haha. Entah apa2 yang aku tulis :P

    Tapi aku tak nafi aku suka tulisan aku yang ini. Cuma aku rasa isinya longgar. Mohon tunjuk ajar Cekgu H! Hehe.

    ReplyDelete
  3. Aku tak nampak apa yang longgar..Aku cuma nampak someone yang ikhlas menulis..

    ReplyDelete
  4. Aku rasa longgar mungkin sebab aku sendiri dah baca banyak kali kut. Haha! Tapi sebenarnya aku sendiri kurang pasti maksud tersirat entry ni. Mula2 ada maksud tersirat, lama2 jadik kurang pasti.

    Err mungkin nampak ikhlas sebab aku taep dengan cara yang aku suka kut. Aku rindu nak menulis macam ni sebenarnya :(

    ReplyDelete
  5. JOIN NOW !!!
    Dan Dapatkan Bonus yang menggiurkan dari dewalotto.club
    Dengan Modal 20.000 anda dapat bermain banyak Games 1 ID
    BURUAN DAFTAR!
    dewa-lotto.name
    dewa-lotto.org

    ReplyDelete

Shout Your Quotes